Thursday, July 10, 2008

Sifat Seorang Usahawan

Wahai semua Usahawan Teknologi Komunikasi. Ada berita baik untuk anda. Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah yang tidak asing bagi kita sebagai Pakar Motivasi yang tersohor di negara ini dan begitu juga dengan Muhammad Zakaria seorang Perunding Motivasi dan Master Trainer telah menghasilkan sebuah buku. Buku tersebut, Langkah Bijak Usahawan Terbilang, patut dibaca bukan saja oleh bakal-bakal usahawan tetapi oleh semua orang. Walaupun jika anda tidak berminat untuk berniaga, buku ini mampu memberi anda ilmu yang dapat meningkatkan pengetahuan anda dalam bidang keusahawanan. Saya juga bersetuju, buku ini dijadikan sebagai buku rujukan dalam kursus-kursus keusahawanan dan perniagaan. Buku ini sepatutnya berada di setiap perpustakaan dalam negara baik di sekolah, universiti maupun di perpustakaan awam. Dipersembahkan dalam bahasa dan cara yang senang difahami. Bagi bakal-bakal usahawan anda wajib membeli dan membaca buku ini.

Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Muhammad Zakaria dalam, Langkah Bijak Usahawan Terbilang ini, telah mempersembahkan ilmu yang patut setiap usahawan ketahui. Malah buku ini telah menjawab banyak persoalan yang selalu dicari-cari oleh usahawan sendiri. Misalnya buku ini telah menyenaraikan 17 sifat keperibadian yang harus ada pada seseorang Usahawan yang Ideal. Walaupun di sini saya hanya sertakan 10 sifat-sifat secara ringkas, 7 lagi saya sengaja tinggalkan kerana saya hendak anda sendiri membaca buku tersebut keseluruhannya. Sepuluh sifat yang saya maksudkan adalah:
  1. Bersemangat dan berkeinginan tinggi untuk berjaya dalam mencapai matlamat.
  2. Memandang masa hadapan dengan jelas.
  3. Berkeupayaan bekerja keras.
  4. Berfikiran positif.
  5. Berani membuat keputusan.
  6. Pandai mengatur strategi.
  7. Berani mengambil risiko.
  8. Mempunyai daya kepimpinan.
  9. Sikap bertanggungjawab.
  10. Berorientasikan ganjaran atau habuan.
Sementara itu, buku Langkah Bijak Usahawan Terbilang ini juga telah menyenaraikan 21 punca usahawan yang bermasalah. Saya hanya sertakan 10 punca usahawan bermasalah secara ringkas saja seperti berikut:
  1. Ingkar perintah Allah, nasihat pasangan, nasihat orang tua-tua dan nasihat orang yang lebih berpengalaman.
  2. Tidak beramal dengan ilmu
  3. Matlamat tidak jelas.
  4. Silap kawan.
  5. Jiwa rapuh.
  6. Nak cepat kaya.
  7. Sifat malas.
  8. Kurang usaha.
  9. Penampilan diri kurang karismatik.
  10. Tidak berdisiplin.
Terima kasih juga kepada penerbit buku ini, Telaga Biru Sdn Bhd. Kata Penerbit, "Perkara pokok yang ingin diperkatakan dalam ruangan kata penerbit ini ialah mengakui kekuasaan Allah s.w.t yang menganugerah kesihatan, nyawa dan kekayaan kepada para usahawan". Sebagai ingatan wahai usahawan anda perlu beriman, beramal dan beretika.