Saturday, July 05, 2008

Pembentukan Sifat Usahawan Penting

Sifat Usahawan boleh di bentuk. Lagi awal lagi baik. Kalau boleh seawal rebung masih senang dilentur. Saya terbaca sebuah kisah seorang kanak-kanak yang berjaya membuka pintu hati seorang Blogger kita. Secara ringkasnya ceritanya begini.

Dalam perjalanan pulang Blogger kita dari Kampung, beliau telah singgah di sebuah kedai makan. Sementara menunggu hidangannya, datang seorang kanak-kanak menghampiri beliau untuk cuba menjual kuihnya. Tapi memandangkan sudah memesan makanannya, beliau terpaksa menggeleng. Sambil berlalu pergi, Blogger kita perasan, kanak-kanak tersebut singgah ke meja lain dan menanya soalan yang sama. Tidak kenal penat dan tidak pernah putus asa. Begitulah gigihnya kanak-kanak kecil ini menjual kuihnya. Pantang saja ada pelanggan melintas depannya, kanak-kanak tersebut akan hampiri dan cuba menjual kuihnya. Tanpa segan silu tapi dengan penuh kesopanan dan keikhlasan. Habis saja Blogger kita makan, kanak-kanak tadi datang lagi dan menanyakan soalan yang sama. Sambil menepuk perutnya, kali ini Blogger kita kata beliau dah kenyang. Kanak-kanak itu pun beredar dari meja dan berdiri di kaki lima kedai tersebut menunggu pelanggan lain. Ketika ini, Blogger kita mula rasa kagum dengan sifat kecekalan kanak-kanak ini, walaupun merasai kasihan akan nasibnya.

Selepas bayar, Blogger kita pun kembali ke kereta untuk teruskan perjalanan beliau. Sebelum hidupkan enjin kereta, beliau betulkan posisi kedudukannya. Tapi, belum sempat menutup pintu, kanak-kanak tadi sudah berdiri ditepi pintu keretanya. Dengan senyuman yang meleret, sekali ini beliau tanya "Abang tak ingin belikan kuih untuk anak, adik atau pun ibu bapa Abang?" Sekali lagi, Blogger kita geleng kepala tapi dengan penuh insaf beliau hulurkan duit dan berkata "Abang sedekah". Dengan senyuman yang manis, beliau ambil duit tersebut dan kata terima kasih. Lalu beredar dari situ.

Tapi, alangkah terkejutnya Blogger kita semasa hendak mengundurkan kereta, beliau ternampak kanak-kanak kecil ini menghulurkan duit tadi kepada seorang peminta sedekah yang cacat. Dengan pantas beliau matikan enjin dan terus panggil kanak-kanak tadi dan bertanyakan kenapa beliau beri duit tersebut kepada orang lain. Dengan tenang kanak-kanak ini jawab, "Ibu saya marah kalau saya mengemis. Ibu kata, kita perlu bekerja mencari nafkah kerana tuhan telah kurniakan kita cukup sifat. Kalau Ibu nampak duit lebih dari jualan, beliau akan tahu dan memarahi saya. Mengemis kerja orang yang tidak berupaya, Abang".

Terkejut tapi sebak dengan kelancaran dan secara spontan jawapan kanak-kanak ini. Blogger kita terus bertanyakan harga ke semua kuih dalam bakul kanak-kanak tadi dan terus membayarnya. Blogger kita rasa terharu, kagum dengan sikap dan sifat mulia yang telah ditunjukkan oleh kanak-kanak sekecil ini, sepanjang beliau berada di kedai untuk makan. Selain kejujuran dari kata-katanya tadi, kanak-kanak ini telah menunjukan bertapa penting anugerah tuhan kepada umatnya. "Beliau mungkin sedang dididik untuk menjadi seorang Usahawan" kata dalam hati Blogger kita. Lebih mengkagumkan lagi ialah keupayaan asuhan oleh Ibu Bapanya dalam membentuk kesemua nilai-nilai murni ini.

Disini bolehlah kita rumuskan, seorang Usahawan perlu mempunyai ciri-ciri keusahawanannya untuk berjaya. Dari kecil jika dibentuk untuk melaksanakan perkara yang betul, insha allah, kejayaanlah yang akan kita kecapi. Untuk yang lebih dewasa bak kata Brian Tracy, "Success is not an accident. Failure is not an accident either. Infact, success is predictable. It leaves tracks. If you do what other successful people do, over and over again, nothing in the world can stop you from eventually getting the same results that they do. And if you don't, nothing can help you".

Wahai Usahawan Teknologi Komunikasi, kita hanya perlu ikut cara orang yang telah berjaya. Peluang sudah ada. Apa lagi? Jangan hanya sibuk cari alasan sedangkan orang lain sedang sibuk buat duit.